Want your
own Fotopage?








 


By: RaY KinZoKu

[Recommend this Fotopage] | [Share this Fotopage]
[<<  <  6  7  8  9  10  11  12  [13]  14  15  16  17  18  19  20  >  >>]    [Archive]
Wednesday, 4-Jun-2008 23:59 Email | Share | | Bookmark
RM 2.70 : Bila Minyak Naik Ke Kepala ......

.


RM 2.70 :
Bila Minyak Naik Ke Kepala ......




Kenaikan harga bahanapi yang tertinggi dalam sejarah Malaysia
telah dirasmikan dengan bergayanya oleh Sang Mamanda Menteri pada 4 Jun 2008, berkuatkuasa pada hari seterusnya .....

Aduuuuuuh .....


Wahai Mamandaku yg chantek ropawan,
kanda masih teringat semasa kita berchengkarama di bawah sinaran lampu minyak petrol ... dan Mamanda telah berjanji untuk hanya memulakan segalanya bermula Ogos !?

Yang lebih menguji kewarasan akal adalah bila mana kejutan tidak lagi diamalkan sebagaimana kebiasaan sebaliknya dengan penuh berbesar hati, diumumkan pula ke seantero Malaysia, barangkali dengan harapan, tahap minyak yang akan naik ke kepala setiap rakyat marhaen, tidaklah sampai ke tahap mendidih .....

Dan berkat pengumuman ini,
sebagaimana yang telah ditilik dalam mangkuk Pak Belalang ( siapa tak nampak, dia anak luar nikah ! ), maka berpusu pusulah rakyat marhaen membanjiri stesen minyak, menyampaikan salam terakhir kepada harga yang pastinya tidak akan kembali lagi, biarpun ditunggu seribu tahun lamanya.

Sejujurnya,
secara peribadi, kenaikan sebegini apalah sangat seandainya :



Quote:

    1 - Sistem pengangkutan awam pada tahap efisien, cekap, menepati masa,
    jaringan luas dan efektif.

    2 - Harga kereta murah semurah murahnya

    3 - Jalan raya kita mesra pejalan kaki dan penunggang basikal

    4 - Tiada tol

    5 - Gaji naik !




Namun,

bila memikirkan realiti dan " mood " semasa ....

...... eh, mana selimut dan bantal aku tadi !?










Suasana di dua stesen minyak di bandar Kota Bharu, sekitar jam 10 malam.
Atas, stesen Petronas Jalan Sultanah Zainab. Bawah, stesen Petronas Jalan Long Yunus.


Rakyat marhaen tanpa segan silu berbaris panjang, menghalang lalulintas, lintang sana lintang sini, menghabiskan petrol demi mendapatkan petrol, sebelum kenaikan 40% yang bermula tengah malam.

Apabila detik 12 tengah malam tiba,
maka turunlah Sang Fairy Godfather ( rupanya seakan Sang Mamanda Menteri ) memungut semula sebahagian subsidi yang diberikan selama ini.

Tika itu juga, seperti dijangka,
rakyat marhaen akan moyok semoyok moyoknya, menangis teresak esak sehinggalah si Prince Charming ( juga menyerupai Sang Mamanda Menteri ) datang menyogok dengan kasut kristal ....

* moyok = ( loghat kelate ) membuat air muka yang lesu kerana tidak bermaya atau sedih






KEMASKINI 4 JULAI 2008


Quote:

    Wujudkan lorong basikal di jalan, lebuh raya

    PULAU PINANG 3 Julai - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa
    kerajaan menyediakan lorong basikal yang selamat di semua jalan raya dan lebuh
    raya baru bagi menggalakkan penggunaannya sebagai pengangkutan alternatif.

    ..............

    '' Dengan kenaikan harga minyak, kenderaan bermotor seperti kereta dan
    motosikal menjadi mahal untuk digunakan. Ini membebankan mereka yang
    berpendapatan rendah dan golongan belia "

    ..............

    '' Selain menyediakan lorong, kerajaan hanya perlu mengubah suai jalan untuk
    memudahkan laluan basikal dan pejalan kaki serta meletakkan papan tanda basikal
    yang jelas di laluan basikal "


    Sumber : Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri : Edisi Jumaat, 4 Julai 2008







Sunday, 1-Jun-2008 16:30 Email | Share | | Bookmark
HARI BERUK SEDUNIA 2008

.


HARI BERUK SEDUNIA 2008





* Murid-murid Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Beruk, Kampung Pulau Tukang Dollah, Kuala Pak Amat, Pengkalan Chepa.




Hah ! Jangan ingat aku lupa !

Selamat Menyambut Hari Beruk Sedunia !

Sambutan pada tahun ini
berlangsung di Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu, dari 31 Mei hingga 1 Jun 2008 .....

Tetapi malangnya, kerana halangan kerja,
kali ini aku tak sempat ke sana maka tiada sebarang liputan dibuat.

Sebagai kifarah,
aku sajikan gambar beruk educated ...

buat mereka yang malas belajar ...






KEMASKINI 12 JULAI 2008




* Liputan menarik pada " Hari Beruk Sedunia 2008 ", dicilok dari blog MyGG2u ... ( ha ha, arigato ! )





Saturday, 24-May-2008 10:00 Email | Share | | Bookmark
TOK JANGGUT : Antara Cukai, Feudalisme dan Nasib Dunia Islam

TOK JANGGUT
.



    TOK JANGGUT :


    Antara Cukai, Feudalisme dan Nasib Dunia Islam ...




    Tok Janggut .......

    atau nama sebenar, Haji Mat Hassan bin Panglima Munas.

    Syahid pada hari ini 24 Mei,

    dalam perjuangan menentang penjajahan Inggeris,

    di Jajahan Pasir Puteh, Kelantan,

    93 tahun yang lampau ......

    Al Fatihah .....





Dahulu,
lebih kurang tiga tahun yang lepas,
saya pernah mencatit satu entri khas berkenaan Tok Janggut.

Apa yang asalnya diniatkan sebagai satu catitan kasual, sebagai menyempurnakan hajat seseorang, telah dengan tidak semena menanya mendapat tumpuan ramai sehingga sendat dengan ratusan komen menyatakan minat.

Dalam banyak banyak komen yang aku perhatikan, tidak kurang ada yang menarik, yang menyebabkan aku merenung kembali kisah perjuangan Tok Janggut, contohnya seperti komen ini :



Quote:

    i am an amateur historian. thank you for the write up. your photos will be useful
    for those researching on Kelantan and its history. i had the privilege of meeting 2 of
    Tok Janggut's grandson. they are proud their grandfather was a shahid. history has
    downplayed the extent and significance of the fight between tok janggut and the
    administrators then. it was a jihad of the muslims against the british rule.

    Fri 2-Dec-2005 14:15
    Posted by :chan - [ Link ]
    IP: 218.208.221.81






Merenung kembali, memang benar sejarah kurang berlaku adil kepada Tok Janggut.

Kisah perjuangan Tok Janggut, walaupun kini diabadikan dalam lembaran sejarah tanahair, disanjung dan diajar di sekolah, dirasakan seolah olah masih atau sengaja dibiarkan tergantung. Tidak keterlaluan jika saya katakan, seolah olah sama sebagaimana yang diperlakukan oleh Inggeris terhadap jasad Tok Janggut di Padang Bank.

Apa yang saya maksudkan dengan " tergantung " di sini adalah bila mana rata rata sumber utama rujukan sejarah ( authorized sources ), dalam menghuraikan kronologi dan sebab musabbab kepada kebangkitan Tok Janggut, hanya mengutarakan faktor permasalahan cukai dan faktor kehilangan kuasa politik pembesar Melayu tradisional ( feudalisme ) sebagai punca.

Di sini, saya petik beberapa contoh dari huraian Arkib Negara Malaysia dan buku teks sejarah Tingkatan Lima sebagai bukti :




Quote:

    Campurtangan British di Negeri Kelantan pada awal abad keduapuluh telah menyebabkan berlaku beberapa perubahan dasar sistem pentadbiran di negeri tersebut.

    Pihak British telah memperkenalkan sistem-sistem cukai yang baru yang bercanggah dengan kebiasaan rakyat tempatan dan telah melantik pegawai-pegawai untuk menggantikan tempat pembesar-pembesar daerah tradisional.

    Kewujudan alat-alat pentadbiran dan campurtangan pihak British dalam pentadbiran Negeri Kelantan ini telah menggugat kedudukan pembesar-pembesar daerah serta menimbulkan kemarahan mereka yang selama ini memiliki banyak keistimewaan.


    From :
    Arkib Negara Malaysia : Hari Ini Dalam Sejarah Online : " PERANG TOK JANGGUT "




Quote:




* Buku Teks Sejarah Tingkatan 5 ( KBSM ), Dewan Bahasa & Pustaka, Cetakan Keempat 2006, Percetakan Watan Sdn Bhd

( Nota : Perenggan berkaitan di " highlight " bagi memudahkan rujukan. )






Sebenarnya,
apa yang dinyatakan oleh sumber sumber di atas tidaklah bersalahan dengan apa yang benar benar telah berlaku.

Cuma, secara peribadi, menyampaikan kisah Tok Janggut dalam konteks perjuangan membantah cukai dan kehilangan kuasa politik tradisional, bukan sahaja mengabaikan butiran penting lain dalam kronologi kejadian malah dirasakan mampu memberikan implikasi negatif kepada perkembangan minda generasi muda. Seolah olah menyatakan bahawa bangsa Melayu berasal dari kelompok yang kedekut dan taksub dengan feudalisme. Apakah sebenarnya yang ingin dibuktikan melalui huraian sedemikian ?

Sedar atau tidak, dengan pentafsiran sedemikian juga, kita telah berjaya menyempurnakan agenda penjajah Inggeris tanpa mereka sendiri perlu bersusah payah menyempurnakannya.

Sejarah membuktikan bahawa penjajah Inggeris sememangnya mahu perjuangan Tok Janggut digambarkan sedemikian, kerana mudah bagi mereka melabel beliau sebagai penjenayah dan pengkhianat ( tidakkah kita selalu diajar, membantah arahan pihak berkuasa adalah satu jenayah ? ) .....

.... dan sejarah juga membuktikan bahawa dengan menonjolkan Tok Janggut sebagai seorang penjenayah dan pengkhianat, mereka telah berjaya mengalihkan perhatian orang Melayu Islam dari memikirkan isu global berkaitan umat Islam yang sedang hangat ketika itu !

Laporan berikut,
yang dipetik dari akhbar The New York Times, bertarikh 15 November, 1914,
menjelaskan usaha awal Inggeris untuk memastikan orang Melayu terus terserkup di bawah tempurung :









Menurut laporan di atas, pada 14 November 1914, Sultan Kelantan ( Sultan Muhammad IV, 1900 ~ 1920 ), telah mengeluarkan jaminan taat setia kerajaan Kelantan kepada Inggeris ekoran Perang Dunia Pertama di Eropah.

Inggeris pada masa itu, sedang berperang dengan kerajaan Turki Uthmaniyyah yang bersekutu dengan Austria-Hungary dan Jerman. Inggeris telah menekan pihak istana untuk mengisytiharkan solidariti bersama - tindakan yang mengecewakan Tok Janggut lantas memilih untuk bangkit sendiri menentang Inggeris .....

Tetapi mengapa Kelantan ? Mengapa Turki Uthmaniyyah !?

Perlu diingatkan bahawa pada masa itu, kerajaan atau empayar Turki Uthmaniyyah dianggap oleh kebanyakan umat Islam di dunia, termasuk juga di Kelantan, sebagai pelindung serta pemimpin ummah. Kebetulan pula di Kelantan, hampir keseluruhan penduduk adalah beragama Islam bermazhab Shafie ( dinyatakan di situ, " Shaffa Mohammedanism " ) dan kuasa politik adalah di tangan pemerintah beragama Islam ( walaupun di bawah pengaruh Inggeris ).

Walaupun demikian, itu bukanlah perkara yang paling dirisaukan oleh Inggeris.
Inggeris lebih gusar dan khuatir akan hakikat hubungan dan pergantungan Kelantan dengan Timur Tengah dari sudut ideologi dan politik, yang telah berlangsung sejak berkurun lamanya. Ramai rakyat Kelantan berulang alik ke Makkah untuk menuntut ilmu, menunaikan ibadat Haji dan tidak kurang juga ada yang memiliki kepentingan di sana. Tok Janggut berada dalam kelompok ini, seorang terpelajar yang pernah menuntut ilmu dari Pattani hingga ke Makkah. Kebetulan juga, Makkah ketika itu merupakan wilayah Turki Uthmaniyyah, yang pastinya sedang marak dengan propaganda anti-Inggeris ketika Inggeris sedang berperang dengan Turki. Inilah yang dirisaukan oleh Inggeris.

Walau bagaimana pun, dalam hal ini, menyedari hakikat masyarakat Melayu yang amat mentaati Raja, Inggeris telah mengambil jalan memaksa pihak Istana untuk menyatakan pendirian yang selari dengan mereka, dengan harapan, kemarahan masyarakat Islam Kelantan terhadap peranan Inggeris dalam Perang Dunia Pertama dapat dikekang.

Namun, malang bagi Inggeris, jaminan yang diberi hanya bertahan selama lima bulan sahaja dan " kekacauan " ( disturbance ) yang dirisaukan telah benar benar berlaku di Pasir Puteh pada April 1915, di bawah pimpinan Tok Janggut ( antara sebab mengapa Tok Janggut diisytiharkan Inggeris sebagai " pemberontak " dan " pengkhianat " ).

Apa yang menarik, perkara yang paling dirisaukan Inggeris di Kelantan sebenarnya telah terlebih dahulu berlaku di Singapura, kubu kuat Inggeris di Asia Tenggara. Pada Februari 1915, askar upahan Inggeris dari India yang beragama Islam telah bangkit memberontak. Peristiwa berdarah yang dikenali sebagai Dahagi Singapura 1915 atau The 1915 Singapore ( Sepoy ) Mutiny ini, telah menyebabkan lebih kurang 50 orang Eropah terkorban. Puncanya, tidak lain tidak bukan adalah kerana peperangan Inggeris dengan Turki Uthmaniyyah, ditambah pula dengan fatwa berjihad yang dikeluarkan oleh kerajaan Uthmaniyyah. Dikatakan Tok Janggut telah mengikuti perkembangan pemberontakan ini lalu merancang penentangan di Pasir Puteh.

Biar pun segera ditumpaskan, kejadian pemberontakan ini begitu memalukan Inggeris. Mengambil iktibar, Inggeris telah mengambil langkah berjaga jaga dan malang sekali, penentangan Tok Janggut menyusul dua bulan selepas itu dalam keadaan Inggeris sudah bersedia. Akibatnya, Tok Janggut telah diganyang sedasyat dasyatnya oleh Inggeris dan ini dapat disaksikan melalui bagaimana jenazahnya diperlakukan di Padang Bank.

Mengenangkan apa yang telah dilalui oleh Tok Janggut, adalah dirasakan amat tidak wajar jika kisah beliau terus dibaca dalam konteks sedia ada ( penekanan kepada permasalahan cukai & kehilangan kuasa feudal ). Perhatian perlu diberikan kepada konteks yang lebih global seperti yang dinyatakan di atas - sesuai dengan keadaan dunia masa kini serta hakikat diri dan latar belakang Tok Janggut sendiri.

Tok Janggut sebenarnya bukanlah seorang jaguh kampung yang buta huruf.
Beliau adalah seorang yang terpelajar, yang pernah mengembara menuntut ilmu dari Pattani sehingga ke Makkah. Kerana itu, rangkaian serta jaringan maklumatnya cukup baik. Beliau jelas tahu apa yang sedang berlaku di dunia ketika itu, khususnya nasib yang menimpa Dunia Islam - kecelaruan dan perpecahan yang melanda umat Islam angkara masalah dalaman dan penjajahan asing. Beliau juga sedar bahawa simbol kekuatan politik umat Islam tika itu, Empayar Turki Uthmaniyyah, sedang diancam dan cuba dihapuskan oleh Inggeris melalui Perang Dunia Pertama.

Kerana itu juga, Tok Janggut adalah seorang yang berfikiran GLOKAL ( yakni, a person who thinks globally and acts locally ). Ini dapat dilihat melalui keprihatinan beliau terhadap nasib Dunia Islam yang dipadankan dengan suasana setempat, yang kemudiannya ditafsirkan melalui penentangan bersenjata pada tahun 1915.

Sayang sekali, hakikat ini selalu sahaja tenggelam, samar samar atau langsung gagal dinyatakan dalam huraian kontemporari sejarah Tok Janggut, hingga menampakkan perjuangan beliau sebagai bercorak parokial ( kekampungan ) yang hampir tidak membawa apa apa makna.

Emmmm ..... entahlah ....

Yang pasti,
aku harap agar lebih ramai orang akan mengenali Tok Janggut,
tetapi bukan kerana gambar jasad beliau diperlakukan oleh Inggeris
tetapi kerana keberanian dan kematangannya dalam berjuang
demi bangsa dan agama ....

Buat Tok Janggut
dan rakan seperjuangan beliau,

Al Fatihah ....




BACAAN BERKAITAN



Quote:
    INGGERIS cuba menyembunyikan cerita sebenar mengenai Tok Janggut. Lelaki itu dan kumpulannya dituduh penderhaka kepada sultan, bangsa dan tanah airnya iaitu Kelantan.

    Perjuangan tokoh yang nama sebenarnya, Mat Hassan Panglima Munas itu cuba dinafikan, malah perkataan ‘jihad’ yang dilancarkan Tok Janggut diganti dengan perkataan ‘pemberontakan’ dan ‘penderhakaan’.


    Rujukan alternatif




Quote:
    The story of a Kelantanese rebel who fought against the British comes alive in the Tok Janggut Trail.

    A declaration of jihad (holy war), an insurrection against foreign invaders, the death of a rebel leader and the parade of his corpse before it was hung upside-down in public as a warning – this is the story of Kelantan’s Tok Janggut.




Quote:
    Pengaruh luar seperti Perang Dunia Pertama dan Dahagi di Singapura pada tahun 1915 juga mempengaruhi penduduk Kelantan melancarkan kebangkitan terhadap pentadbiran British.

    Orang Kelantan percaya British akan mengalami kekalahan dalam Perang Dunia I. Begitu juga apabila Dahagi meletus di Singapura pada tahun 1915. Penduduk Kelantan mendapat berita bahawa tentera India berjaya membunuh orang Eropah secara beramai-ramai. Kesannya, kejayaan Dahagi ini menyebabkan orang Kelantan tidak lagi menghormati orang Eropah sebagaimana sebelumnya.




Quote:
    Sebuah lagi catatan penting ekoran daripada gerakan Pan-Islam Sultan Abdul Hamid II adalah tercetusnya Dahagi Singapura pada tahun 1915.

    Sehingga pada hari ini, sebab sebenar yang mencetuskan Dahagi tersebut masih belum didedahkan kepada umum kecuali dengan beberapa andaian yang berhasil semenjak beberapa tahun yang lalu. Ini berikutan daripada polisi Britain sendiri yang merahsiakan perkara tersebut.

    Dahagi ini sebenarnya bermula ekoran daripada bantahan askar India dan Melayu Muslim daripada dihantar ke Timur Tengah bagi menyertai tentera Arab menentang pemerintahan Khilafah Othmaniah semasa Revolusi Arab 1916.




PADANG BANK, KOTA BHARU




* Poskad lama awal 1930an, yang memaparkan Monumen Perang Dunia Pertama dan Padang Bank di Kota Bharu.

Imej " dipinjam " dari blog Northernmalaya ). Turut kelihatan adalah bangunan Istana Jahar. Foto dirakam sekitar 1930an.

Setelah gugur syahid di Pasir Puteh, jasad Tok Janggut telah dibawa ke Kota Bharu dan digantung songsang di khalayak ramai, di Padang Bank. Sebagai tontonan dan pengajaran kepada rakyat Kelantan yang terfikir untuk menentang Inggeris.






* Monumen Perang Dunia Pertama dan Padang Bank pada masa sekarang.

Foto dirakam awal Jun 2008.





MAKAM TOK JANGGUT, PASIR PEKAN




* Keadaan makam Tok Janggut, tiga tahun dahulu.

Foto dari entri terdahulu







* Keadaan makam Tok Janggut pada masa sekarang.

Foto dirakam pada awal Jun 2008.





Monday, 19-May-2008 19:00 Email | Share | | Bookmark
Cóng Kota Bharu Dào Běijīng ( 3 )

.




    Cóng Kota Bharu Dào Běijīng ( 3 )



    Bila tiba waktunya

    setiap yang pergi

    pasti akan kembali ......






* Selamat Tinggal Beijing :

Pesawat MAS MH 371 - Beijing Capital ke KLIA, berlepas jam 9 pagi waktu tempatan, sama dengan waktu Malaysia !






* Mentari Terbenam :

Ruang udara Kelantan, beberapa ketika sebelum tiba di Kota Bharu ( 7.15 ptg ).






Sunday, 18-May-2008 12:00 Email | Share | | Bookmark
Cóng Kota Bharu Dào Běijīng ( 2 )

Sebuah Masjid Di Beijing (1) : Pintu Pagar
Sebuah Masjid Di Beijing (2) : Bangunan Utama
Sebuah Masjid Di Beijing (3) : Pintu Masuk Ke Dewan Solat
View all 42 photos...
.




    Cóng Kota Bharu Dào Běijīng ( 2 )





ISLAM DAN BEIJING


Teringat.

Suatu ketika musim dingin, dalam samar samar cahaya lewat petang, di sebuah restoran, di Hamamatsu, Shizuoka-ken.

Tiga orang - seorang Jejaka Melayu Terkacak, seorang penyelia Jepun dan seorang Cina Tanah Besar - duduk saling bertentangan di meja makan :


Quote:

    Penyelia Jepun : Kamu nak pesan apa ? Saya nak Ramen.


    Cina Tanah Besar : Saya pun, Ramen !


    Jejaka Melayu Terkacak :
    Saya tak boleh makan daging. Tak apa, saya pesan Tempura Udon saja.


    Penyelia Jepun :
    Kenapa tak boleh makan daging ? Kat sini Ramen dia sedap !


    Jejaka Melayu Terkacak :
    Saya orang Muslim. Tak boleh makan babi dan juga sebarang daging atau apa apa
    yang tidak disediakan mengikut hukum Islam.


    Penyelia Jepun :
    Tak apa, ini Jepun, bukan Malaysia. Tak payah fikir susah susah. Tak kena tangkapnya.


    Cina Tanah Besar :
    Bukan begitu ( sebut nama )-san. Dia orang Islam. Bukan soal undang-undang negara tapi soal kepercayaan yang tak akan berubah, biarpun ke mana mereka pergi ! Di China pun ada ramai orang Islam dan mereka pun memang jaga bab makan minum. Restoran Islam memang banyak. Ada hidangan daging biri biri. Sedap sedap belaka ! Tapi kenapa di Jepun tidak nampak orang Islam yer ? Tak nampak restoran Islam langsung ..


    Penyelia Jepun : Emm ...... entahlah .... ( terus terkedu, terdiam )


    Jejaka Melayu Terkacak : ( tersengih )




Alkisah, si penyelia adalah seorang warga Jepun yang tipikal.

Si " Cina Tanah Besar " pula adalah seorang warga China atau " Mainland Chinese " yang bekerja sambilan ( arubaito ) dengan sebuah syarikat renovasi dalaman, bersama si Jejaka Melayu Terkacak iaitu aku. Kami berdua hanyalah kuli cabuk, ditugaskan mengemas dan memunggah kelengkapan dan sampah sarap. Itu tak penting kerana gajinya sangat lumayan.

Aku memang sudah menjangka maklum balas sedemikian daripada si penyelia Jepun.
Memang lumrah bagi majoriti warga Jepun khususnya golongan muda untuk tidak memikirkan soal agama. Seolah olah bagi mereka, agama hanyalah kebudayaan setempat yang tidak sepatutnya dibawa bersama apabila melangkau ke daerah asing, yang juga tak ubah seperti undang undang dan peraturan yang wujud untuk mengekang kebebasan manusia.

Yang paling menarik adalah komen si Cina Tanah Besar.

Dia jelas bukan seorang Muslim tetapi kefahamannya tentang Islam tampak bukan sembarangan, jauh sekali berbanding kefahaman si Jepun. Aku sangka dia akan tumpang sekaki " membelasah ", tetapi sebaliknya berlaku menyebabkan aku sedikit tersentak, terpesona dan penuh dengan persoalan.

Persoalan yang akhirnya terjawab bila mana aku berkesempatan untuk bertandang sendiri ke Beijing, China.

Ternyata, iklim keIslaman di China, walaupun samar samar, bahangnya terasa.
Oooh ! Tak hairanlah mengapa ketika itu, si Cina Tanah Besar begitu beria ia dengan komennya tentang Islam.

Walaupun umat Islam di China hanya sekitar 1 ~ 2 % sahaja, tidak jauh sangat bezanya dengan peratusan orang Islam di Jepun ( < 0.5 % .. Tapi, ingat ! Keluasan Jepun adalah lebih kecil ! ), rakyat China nampaknya lebih terbuka dan peka dengan kehadiran Islam di kalangan mereka. Dari masjid sehingga ke kedai makan Islam, dan dari penjaja manisan bangsa Uyghur sehinggalah ke pemilik kedai tekstil berbangsa Hui, suasana Islam di China ternyata amat berbeza sekali berbanding suasana di Jepun.

Aku berkesimpulan bahawa boleh jadi kepekaan ini wujud disebabkan oleh keadaan demografik negara mereka yang beraneka atau boleh jadi juga kerana umat Islam di China lebih aktif dan lebih menyerlah berbanding umat Islam di Jepun. Entahlah ! Mungkin juga kerana, berlainan dengan Jepun yang lebih 90% umat Islamnya terdiri dari bangsa asing, di China, lebih 90% umat Islam adalah dari kalangan warga China sendiri.

Di Beijing sahaja, terdapat berpuluh puluh buah masjid atau disebut dalam bahasa tempatan, " Qīng Zhēn Sì " atau " Kuil Kebenaran Sejati " ( Pure Truth Temple ). Restoran menghidangkan makanan halal juga cukup banyak, atau dengan bahasa kurang sopannya, " bersepah sepah " sebanyak debu debu Padang Pasir Gobi yang melayang ke Beijing. Sepanjang aku di Beijing, ada ada saja aku terserempak dengan premis premis sedemikian di sepanjang jalan. Bahkan, sebuah pusat membeli belah yang aku kunjungi turut menyediakan surau dan tempat berwuduk yang serba lengkap dan selesa, selain tempat makan khas bagi orang Islam !

Dalam pada itu, kebudayaan setempat tetap menebal.

Lihatlah sahaja pada rekabentuk masjid, sepenuhnya bercirikan kesenian Cina, sehinggakan sekali lihat, maafkan saya, tak ubah seperti sebuah Tokong ! He he ... Tetapi yang lebih menarik, ianya masih dalam lingkungan ketetapan syarak dan falsafah Islam. Dalam erti kata mudah, jasadnya Cina tetapi rohaninya Islam. Sekaligus membantu membuktikan bahawa Islam itu universal dan bersifat " adaptable " dalam apa jua budaya sekalipun. Tidakkah manifestasi sebegini bagus ?

Emmm .... agaknya bagaimana pula dengan kita ?

Di mana roh senibina Masjid Kampung Laut, Masjid Lama Kota Bharu dan Masjid Langgar pada masa sekarang ? Makin hari kita dimomokkan dengan senibina Timur Tengah yang dijaja sebagai " bercirikan Islamik ". Di mana kredibiliti senibina tempatan ? Di mana jati diri ?

Alangkah menariknya jika masjid-masjid ( dan juga sekalian bangunan awam dan komersil ) di Malaysia amnya dan di Kelantan khasnya, dapat dipersembahkan dengan sebegitu rupa ... berjasad Nusantara namun jiwanya tetap Islamik !

Ha ha ha ...

memikirkan keadaan masa kini dan " mood " semasa,

tolong .... berikan aku bantal dan selimut !






* Masjid Niu Jie - :

Seorang lelaki Islam tempatan berjalan melintasi hadapan gerbang masuk ke perkarangan Masjid Niu Jie, Beijing.

Masjid Niu Jie atau dalam bahasa tempatan disebut " Niú Jiē Qīng Zhēn Sì " terletak di Niu Jie ( baca : Niyu Jiyae ) atau Jalan Lembu !

Mula diasaskan sekitar tahun 900 Masihi, ia adalah yang terbesar dan tertua di Beijing. Walaupun demikian, struktur yang wujud sekarang tidaklah berasal dari zaman tersebut sebaliknya agak baru hasil beberapa renovasi yang dilakukan semenjak itu. Renovasi terkini adalah pada beberapa tahun lepas dan renovasi seterusnya sedang dalam perancangan kerajaan China.






* Masjid Niu Jie - Menara :

Masjid dan menara memang tidak dapat dipisahkan, begitu juga Masjid Niu Jie.

Cuma di sini, ianya dibina sepenuhnya dengan ciri ciri tempatan, yang sesetengahnya menyebabkan aku tertanya tanya. Apa apa pun, ianya jelas mencerminkan manifestasi jati diri kental sebuah budaya.






* Masjid Niu jie - Setelah Usai Solat Zohor :

Kelihatan masyarakat China Muslim ( suku Hui ) melangkah keluar dari dewan solat utama Masjid Niu Jie setelah selesai menunaikan solat Zohor berjemaah.

Di China dan juga di Jepun, Islam dinyatakan sebagai " Huí Jiào " ( disebut " Kaikyou " dalam bahasa Jepun ) yang membawa maksud, " Agama Orang Hui ". Majoriti penganut Islam di China adalah dari suku Hui.






* Masjid Niu Jie - Biar Betul !? Patung ? :

Arca bersaiz kecil berbentuk haiwan dari mitos Cina dipasang pada atap masjid sebagai perhiasan atau mungkin juga bagi membawa maksud tertentu, yang menyebabkan aku terlopong seketika.

Carilah di segenap ceruk dunia sekalipun, saya yakin tidak ada masjid atau rumah ibadat orang Islam yang menggayakan senibina sebegini dengan sebab yang kalian sudah sedia maklum.

Walaupun demikian,
hanya sebahagian atap pada sebahagian bangunan sahaja yang dipasang sedemikian dan tidak pula kelihatan pada bahagian dalam atau bahagian lain pada masjid.






* Masjid Niu Jie - Melangkah Ke Dalam :

Ruangan yang menghubungkan pintu masuk dengan ruang solat utama masjid.

Terdapat papan kaligrafi Cina yang bertulis " Qīng Zhēn Gǔ Jiào" ( pure truth old teaching ? ) manakala tidak kelihatan dalam gambar, adalah papan amaran melarang bukan Muslim dari memasuki kawasan solat. Masjid Niu Jie turut mengenakan bayaran masuk bagi pelawat Bukan Muslim.

Sebagai perbandingan, di Tokyo, Masjid Turki di Yoyogi Uehara menggalakkan Bukan Muslim untuk masuk ke ruang solat dan tidak mengenakan sebarang bayaran masuk.






* Masjid Niu Jie - Ruang Solat Utama :

Ruang solat utama Masjid Niu Jie bagi kaum lelaki di bangunan utama
Ruangan bagi kaum wanita adalah berasingan dan terpisah agak jauh dari bahagian ini.

Ruang berwarna warni, dikuasai warna merah, simbol tuah dalam kebudayaan masyarakat Cina. Setiap sudut pula dipenuhi dengan kaligrafi Al Quran dan lukisan alam semulajadi beserta pelbagai corak geometri gaya Timur Tengah dan Cina.

Menakjubkan !






* Masjid Niu Jie - Dakwah Islamiah :

Papan kenyataan bertampal keratan akhbar berkenaan Islam.

Bergambar, pengunjung yang tidak boleh membaca tulisan Cina sekalipun, dengan mudah dapat meneka jenis mesej yang ingin disampaikan.






* Sebuah Masjid di Beijing

Antara banyak banyak masjid yang terdapat di Ibukota Beijing.
Tidaklah besar tetapi sudah cukup gah bagi sebuah rumah ibadat Islam di bumi yang dihuni majoriti bukan Islam.

Namanya pula tidak diketahui, gara gara terlupa bertanya kepada Tok Siak Masjid.

Tetapi kalau diteliti pada batu bersurat putih bertulisan Cina di tangga masjid ( bawah, kanan foto ), ada tertera, " An Hua Qiao Qīng Zhēn Sì " atau Masjid Jambatan An Hua (?).






* Masjid Nan Dou Ya - Kaligrafi Yang Menyambut :

Kaligrafi Arab ala China menghiasi beberapa permukaan bangunan utama masjid Nan Dou Ya, menyambut setiap pelawat dan ahli jemaah yang datang berkunjung.

Masjid ini adalah antara masjid " favorite " pemandu pelancong yang membawa rombongan pelancong Muslim ke Beijing. Setiap hari ada ada sahaja rombongan dari Malaysia dan Indonesia yang bertandang ke sini. Maka jangan terkejut jika beberapa papan kenyataan tertulis Bahasa Melayu !






* Masjid Nan Dou Ya - Kedai Makanan Halal :

Kedai Makanan Halal di hadapan bangunan masjid.

Antara yang tertera ( yang mampu aku rungkai ), adalah " daging lembu ", " daging biri biri ", " kebab daging biri biri ", " taufu " dan " kacang hijau " ... eh, ye ker ? Tetapi tidak dapat dipastikan sama ada ianya sebuah restoran atau kedai runcit ... emmm ...






* Dijamin Halal oleh JAKIM Cawangan China :

Ha ha ha .. mana ada JAKIM cawangan China ! Dalam mimpi !

Tetapi salah satu cara mengenali restoran yang menyediakan makanan Islam adalah dengan mencari plak keemasan ini pada premis makanan. Selain itu carilah plak hitam kecil sebesar kotak tisu bertulis, " Mat'amul Islami " ( tempat makan Islam ). Kerap juga kelihatan si tukang masak menggayakan imej Islam ( berkopiah, dan jarang sekali bertudung ala skarf bagi wanita ).

Namun demikian, tidak pula dinyatakan dengan jelas, badan dan dengan tauliah apakah yang memantau status Halal berkenaan. BismiLlahi tawakkaltu ta 'ala Llah !






* Gappo lagih weh ? Marghi kito gomo !

Pelayan membawa masuk hidangan demi hidangan secara satu persatu ( Chinese course ) dan kadang kala " wrong timing ". Dah habis makan, baru nak datang hidangan lain !

Makan di China rupanya tidak sepayah makan di Jepun.
Di restoran yang menyajikan makanan Islam, citarasa sudah sedia disesuaikan dengan lidah orang Asia Tenggara. Malah si pemilik restoran pun sudah pandai menggunakan beberapa perkataan Melayu ketika merujuk kepada hidangan !

Selama di sana, tiada yang rebus atau bakar. Semuanya bergoreng dan bergelumang kicap dan minyak ! Di Beijing, makanan laut adalah satu keajaiban. Jangan harap. Hidangan ikan adalah jarang. Kalau ada pun, pastinya ikan air tawar, yang selalunya, jenis Ikan Kap ( seperti ikan Tongsan atau Kap Rumput ). Ikan sama tetapi dimasak dengan pelbagai gaya. Kalau tak kicap, mesti tomato atau goreng bodoh jer.

Sayuran utama adalah cili. Sama ada Bell Pepper ( Capsicum ) atau Cili Api ! Siapa kata Cina tak makan pedas ? Sekali sekala, sayur sawi atau kailan. Nasi pula adalah dari jenis yang sama dengan nasi yang dimakan di Jepun - seperti pulut kerana kandungan air yang tinggi ( grain moisture ).

Sekiranya itu citarasa anda, maka berbahagialah !
Sekiranya tidak, sila bawa serunding bersama tapi yang pasti, hidangan ala China Muslim ini tidak mengecewakan, satu pengalaman menarik malah memang menyelerakan ( jika kena tempatnya laa .... ). Oh yer, memang kebiasaan bagi kaum Cina memperbanyakkan lauk berbanding nasi. Jepun pun tak gini !

Apa apa pun, di China, pasal makan, tak payah risau ! Insya Allah ..






* Surau di Sebuah Pusat Membeli Belah :

Sebuah surau di tingkat atas sebuah gedung membeli belah.
Kelihatan barisan rak selipar bagi kegunaan berwuduk di bilik air bersebelahan ( yang dilengkapi khas dengan tempat berwuduk ). Di hadapan surau adalah ruang makan khas bagi orang Islam.

Gedung membeli belah tersebut adalah milik kerajaan China - kebiasaan bagi sebuah negara komunis. Mudah kata, si salesgirl / salesboy adalah kakitangan kerajaan. Bayangkan sekiranya " shopping mall " kegemaran anda dimiliki kerajaan. So, the service ? What do you expect ?

Di tingkat bawah menjual pelbagai barangan perhiasan, terutamanya kesenian Cloisonné dan juga kesenian lain seperti jed, sutera, lukisan, ukiran kayu dan porselin.




~~~~~~ # ~~~~~~ # ~~~~~~ # ~~~~~~ # ~~~~~~ # ~~~~~~ # ~~~~~~



KEMASKINI 26 JUN 2008


Foto terkini Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra di Rantau Panjang, Jajahan Pasir Mas, Kelantan yang dibina sepenuhnya bercirikan elemen Cina. Kerja kerja pembinaan masih belum selesai dan sedang berlangsung.

Foto " ihsan " ( hehehe ... ) blog Tak Gedebe ....










[<<  <  6  7  8  9  10  11  12  [13]  14  15  16  17  18  19  20  >  >>]    [Archive]

© Pidgin Technologies Ltd. 2008.

ns4008229.ip-198-27-68.net