By: RaY KinZoKu

[Recommend this Fotopage] | [Share this Fotopage]
View complete fotopage

Tuesday, 14-Jul-2009 12:00 Email | Share | Bookmark
Distinctively KeLaTte : Juwwaa Blae Dudok ...

.



Distinctively KeLaTte :

Juwwaa Blae Dudok ...





Ramai kata suasana pasar-pasar di Kelantan adalah unik.

Terutamanya bagi mereka yang datang bertandang dari luar.

Rata-rata kagum dan terkesima dengan penglibatan aktif kaum wanita dalam perniagaan sehingga ada yang terus menyimpulkan bahawa orang lelaki Kelantan sebagai pemalas dan hanya gemar melepak di kedai kopi !

Tak kurang juga yang berminat dan tertarik dengan barangan yang diperdagangkan, dari jenis-jenis makanan atau sayuran yang tiada ditemukan di tempat sendiri ( seperti Etok dan Lada Solok ! ) sehinggalah kepada pelbagai produk tekstil .... yang saya sendiri pun hairan, apa sebenarnya yang dicari mereka ?

Apa-apa pun, dalam banyak-banyak feedback yang pernah saya pernah terima berkenaan keadaan pasar di Kelantan ( emm ... selain soal bau dan isu kebersihan ), saya tertarik dengan satu komen, yang menyebabkan saya termenung sejenak, dalam apa yang orghae puteh sebut ' deep in thought ' dan akhirnya turut sama bersetuju ...

... bahawa orghae Kelate berghaehii juwwaa blae dudok ! *


( * gemar berniaga sambil duduk )


Betul juga yer ...

Memang itulah antara perkara utama yang membezakan iklim perniagaan di Kelantan berbanding di negeri-negeri lain.

Satu tradisi yang telah diamalkan sejak sekian lama,

tetapi nampaknya tidak begitu dipandang istimewa oleh warga Kelantan sendiri ....







* Pasar Kota Bharu, 1920.

Berhampiran Sungai Kelantan, sekitar Jalan Tok Hakim.





* Pasar Besar Kota Bharu, sekitar 1992.

Foto ihsan Lovelos' Malaysia Photo Album. Klik foto untuk ke sumber asal.

Lihat juga : The Passa Besaa That I Knew





Kalangan kaum wanita yang agak berumur biasanya merupakan pemain utama.

Kerap muncul dengan busana tradisi Kelantan, berkain batik, bertudung atau bersemutar, berwarna-warni, dengan gaya yang cukup bersahaja dan begitu ' down to earth ' ( pun intended ! ) ..

Kebiasaannya mereka akan menyasarkan mana-mana lokasi keramaian yang dikira berpotensi. Selalunya ( tetapi tidak semestinya ) ke pasar-pasar. Biasanya mereka akan datang bersama barang-barang dagangan dengan bantuan ' prebet sapu ' ( kereta upah ) dan adakalanya dengan ' teksi ' ( kecek Kelate untuk ' beca ' ) ... di mana yang terkemudian itu lebih banyak digunakan suatu masa dahulu.

Setibanya di ' drop zone ' yang dimaksudkan, bagi yang tiada tempat tetap, mereka akan menjajah mana-mana sudut yang strategik dan dengan hanya beralaskan guni, helaian suratkhabar, nyiru, besen plastik atau dulang-dulang logam, mereka akan beraksi dengan pertaruhan masing-masing. Pertaruhan dalam bentuk pelbagai hasil pertanian, produk-produk desa sehinggalah kepada beraneka hidupan sungai dan segala macam penghuni laut ....

Apa yang menarik, aksi mereka sering sahaja menjadi santapan lensa-lensa tukang gambar baik yang amatur mahupun yang profesional. Fotogenik dan unik, kata si tukang-tukang gambar. Sehinggakan suasana pasar yang paling banyak dirakamkan di
Malaysia, dikatakan tidak lain tidak bukan, percaya atau tidak ....

.... adalah bahagian ruang tengah Pasar Siti Khadijah !








* Kota Bharu, 2009 - ruang tengah Pasar Siti Khadijah.

Walaupun suasananya tidak lagi sehebat dulu, tetapi masih menyengat !






* Kota Bharu, Awal 2009.

Bahagian Buah-buahan Pasar Besar Siti Khadijah.
Kini sedang digantikan dengan satu blok bangunan pasar baru ( dalam pembinaan ).






* Pasar Wakaf Bharu, 2009

Pasar ini agak baru setelah dipindahkan dari satu lokasi berdekatan.
Saya masih ingat dahulunya ia terletak tidak jauh dari Stesen Keretapi Wakaf Bharu
dalam bentuk deretan kedai-kedai kayu yang menjual pelbagai sayuran kampung dan makanan unik .... termasuklah belalang !

Saya kagum dengan pasar ini kerana pembinaannya mengambil kira tradisi berniaga
masyarakat Kelantan ...







* Jalan Dato' Pati & Jalan Hilir Pasar, Kota Bharu - 2009.

Kawasan ini bukanlah pasar yang digazet.
Sebaliknya telah menjadi tumpuan peniaga sebagai mengambil kesempatan orang
ramai yang berpusu-pusu mendengar ceramah mingguan YB Dato' Menteri Besar
Kelantan yang sering diadakan setiap pagi Jumaat di perkarangan Bangunan
PAS di Jalan Dato' Pati.





Namun demikian, sayang sekali ...

.. kerana apa yang saya dapat perhatikan sekarang adalah rata-rata pembangunan melibatkan infrastruktur pasar di seluruh Kelantan seolah-olah tidak lagi menitik berat atau menumpukan kepada aspek keunikan tradisi masyarakat Kelantan ini ....

Ruang niaga yang disediakan kini adalah dalam bentuk meja simen yang memerlukan peniaga untuk berurusan dalam keadaan berdiri, hanya duduk sekali sekala di kerusi semasa ketiadaan pelanggan. Tak ubah sebagaimana keadaan pasar-pasar lain di Malaysia. Mudah kata, tiada lagi keunikan !

Saya tidak pasti kenapa ianya dibuat sebegitu rupa sedangkan, saya ambil satu contoh, Pasar Wakaf Bharu yang agak baru itu boleh sahaja mengadakan ruang niaga yang mesra konsep ' juwwaa blae dudok ' ini ?

Boleh jadi ianya disebabkan wujudnya isu berkaitan sanitasi atau kebersihan.
Dalam keadaan duduk sama aras dengan barang dagangan yang pula diletakkan di atas lantai dengan hanya beralaskan guni atau surat khabar - mungkin boleh mengundang perasaan jengkel bagi mereka yang tidak biasa.

Boleh jadi juga kerana rekabentuk sedemikian mampu mengoptimumkan bilangan ruang niaga dalam sesuatu bangunan ?

Atau mungkin kerana sebagai memenuhi keinginan, kehendak dan permintaan dari para peniaga sendiri ?

Entah lah ...








* Kota Bharu, 2009 - Blok Tambahan baru, Pasar Besar Siti Khadijah.





* Kota Bharu, 2009 - Bangunan baru Pasar Wakaf Che Yeh.





Apa-apa pun, apa yang pasti, secara peribadi, saya seronok dan berbangga melihat keadaan sedemikian, lebih-lebih dalam keadaan ianya masih banyak diamalkan, kerana ianya melambangkan keunikan budaya masyarakat Kelantan itu sendiri.

Selama saya berkelana di pasar-pasar di Semenanjung, tidak pernah lagi saya saksikan keadaan sedemikian. Setidak-tidaknya boleh berfungsi secara tidak langsung sebagai salah satu ' produk pelancongan ', khas bagi mereka yang gemarkan keunikan sedemikian ( saya yakin, ramai ! ) dari luar sana dan dari kalangan rakyat Kelantan sendiri. Boleh jadi di mata pihak yang berkenaan, ianya sukar dibenarkan untuk terus diamal kerana digenangi pelbagai isu tetapi ini tidaklah bermakna kita mesti menidakkannya langsung ...

Tak apa lah ...

Mungkin suatu masa nanti,
kita akan kembali sedar dan boleh sama-sama membantu menyuburkan serta memartabatkan konsep ini semula.

Kerana bukan sahaja kita perlu berbangga

tetapi juga kerana kita perlu ingat ..

biar apa pun kita lakukan ...

biar apa pun kita mahukan ...

biar apa pun kita harapkan sekalipun ...

tradisi bukanlah sesuatu yang semudah itu boleh dimatikan ~


.
.
.
.
.
.
.






* " Gappo gappo pong, juwwaa blae dudok lagi suko weh ! "

Kota Bharu, 2009 - Bangunan baru Pasar Wakaf Che Yeh.








View complete fotopage


© Pidgin Technologies Ltd. 2016

ns4008464.ip-198-27-69.net