By: RaY KinZoKu

[Recommend this Fotopage] | [Share this Fotopage]
View complete fotopage

Monday, 21-Jul-2008 13:00 Email | Share | Bookmark
Masjid Lama Mulong : Apabila Diri Kembali Disayangi ...

Masjid Lama Mulong : Pandangan Dari Jalan (1)
Masjid Lama Mulong : Pandangan Dari Jalan (2)
Masjid Lama Mulong : Pandangan Dari Jalan (3)
Unjuran Lantai & Tiang Berukir (1)
Unjuran Lantai & Tiang Berukir (2)
Dinding Janda Berhias (1)
Dinding Janda Berhias (2)
Dinding Janda Berhias (3)
Dinding Janda Berhias & Sisip Angin Berukir
Ruang Dalam ( Barisan Buah Gutong di siling )
Ruang Depan & Mimbar (1)
Ruang Depan & Mimbar (2)
Tiang Berukir & Dinding Janda Berhias (1)
Tiang Berukir & Dinding Janda Berhias (2)
Tiang Berukir & Dinding Janda Berhias (3)
Buah Gutong / Guntong / Buntong / Buton
Buah Gutong & Sisip Angin Berukir (1)
Buah Gutong & Sisip Angin Berukir (2)
Tiang Berukir & Pintu Lama (1)
Dinding Janda Berhias & Pintu Lama
Tiang Berukir & Pintu Lama (2)
Sisip Angin Berukir
Sisip Angin Berukir & Dinding Janda Berhias
Struktur Atap & Kayu Jerghia, dulunya buat menyangkut atap bata
Notis Konservasi (1)
Notis Konservasi (2)
Tender Konservasi
.



MASJID LAMA MULONG :

Apabila Diri Kembali Disayangi ...




( boleh dianggap sebagai satu kesinambungan dari entri yang lepas )



Masjid Ar-Rahman atau lebih dikenali sebagai Masjid Lama Mulong.

Sungguh tak disangka, walaupun dari kejauhan tampak biasa sahaja,
spesimen yang mempamerkan keunikan warisan silam senibina Melayu Kelantan yang kini amat jarang dapat disaksikan, rupa-rupanya masih berdiri utuh di sini, jelas tersergam di satu pinggir Jalan Kuala Krai, tidak jauh dari Masjid Lama Kampung Laut !

Ianya terletak lebih kurang 8 kilometer ke selatan pusat bandar Kota Bharu, di satu kawasan bernama Mulong, dalam Daerah Pendek, Jajahan Kota Bharu. Mencarinya juga tidak susah, kurang satu kilometer ke utara Masjid Lama Kampung Laut di Nilam Puri dan cuma sejengkal kera dari bahu jalan yang dimaksudkan. Jelas kelihatan biarpun dari atas kenderaan yang bergerak.

Walaupun tidak dapat dipastikan bila ianya dibina ( sumber tidak rasmi menyatakan, awal abad ke-20 ? ), tatacara pembinaan serta ciri-ciri senibina yang ditunjukkan adalah tipikal bagi senibina tradisonal Melayu Kelantan sebelum Perang Dunia Kedua. Ciri-ciri tersebut dapat diperhatikan pada bahagian dinding, pintu, tiang, ruang atap dan juga struktur keseluruhan bangunan. Walaupun hampir ketiadaan bahagian yang berukir, ukiran pada pepenjuru tiang-tiang utama, walaupun ringkas, dirasakan amat unik serta tidak ditemukan pada tiang-tiang seumpamanya pada binaan-binaan tradisional lama lain di Kelantan.

Apa apa pun, yang lebih mengujakan aku adalah,
setelah sekian lama dalam keadaan agak terabai dan dimamah usia, bangunan masjid ini kelak akan dipulihara secara proaktif, oleh Jabatan Warisan Negara. Itu pun dari apa yang aku baca dari notis-notis yang sedia tertampal di beberapa bahagian masjid.

Syukurlah kerana dengan demikian, nampaknya ada satu bentuk jaminan yang ianya akan terus kekal buat tatapan generasi kini dan mendatang. Walaupun semasa aku ke situ, masih tidak kelihatan langkah yang diambil ( mungkin masih dalam perangkaan ), aku tetap terdorong untuk menyatakan sepenuh penghargaan dan tahniah atas keprihatinan dan inisiatif yang ditunjukkan oleh pihak berwajib.

Setidak tidaknya ada jaminan yang ianya tidak akan terus terbiar dimamah usia, menanti roboh, atau berakhir di kedai-kedai antik buat simpanan peribadi atau diangkut jauh ke luar Kelantan atau pun sekadar berakhir sebagai kayu api buat memasak Gulaa Kawoh, Sambaa Daging, Surgho dan seumpamanya.

Tahniah !

Errrrrr ... tapi, bagaimana pula dengan yang lain ?







* Apa yang dikenali sebagai Dinding Janda Berhias

Binaan dinding seperti ini adalah kebiasaan bagi masjid-masjid, istana dan kediaman-kediaman golongan
bangsawan dan berada di Kelantan sehingga awal abad ke-20. Dibina melalui gabungan kepingan-kepingan
panel kayu dan disusun dengan sedemikian rupa.

Kelihatan di bahagian dinding ini, adalah dua keping akrilik telus cahaya yang dipasang bagi menggantikan
panel kayu asal, bertujuan menggalakkan lagi pencahayaan dalaman bangunan.

Bahagian dinding, di hujung kiri gambar adalah tambahan baru, mungkin bagi menggantikan dinding asal
( janda berhias ) yang telah usang dan reput.







* Unjuran lantai dan tiang berukir.

Unjuran lantai sebegini memang unik bagi binaan tradisional Melayu Kelantan sebelum Perang Dunia Kedua.
Struktur sebegini juga turut kelihatan pada beberapa rumah-rumah lama di bandar Kota Bharu. Tujuan diadakan
sedemikian tidak pula dapat dipastikan.

Kelihatan juga ukiran pada tiang.
Walaupun berniat baik, cat yang berlebihan, lebih-lebih lagi jika berlapis-lapis hanya akan melenyapkan
manifestasi ukiran seperti ini - tetapi, nampaknya terpaksa juga dilakukan demi memulihara kayu.







* Bahagian mimbar dan bahagian saf hadapan.

Apa yang pada kebiasaannya dipasang tiang, digantikan dengan sambungan khas yang ditandakan dengan
Buah Gutong pada siling. Siling sebenarnya tidak wujud dalam senibina tradisional Melayu. Siling yang
kelihatan merupakan tambahan baru, yang memungkinkan lampu dan kipas dipasang.

Berkenaan mimbar, masjid ini tidak lagi diwartakan sebagai masjid bagi tujuan solat Jumaat.
Sejak bila, tidaklah diketahui. Yang pasti, dahulunya ia berperanan penuh sebagai masjid mukim
dan kini ianya sekadar bertaraf sebuah masjid iktikaf semata.







* Pepenjuru yang berukir pada hujung bawah dan atas tiang utama.

Satu ciri yang unik, rasanya tidak ada pada tiang-tiang seumpamanya seperti di Istana Balai Besar,
Istana Jahar mahupun Masjid Lama Kampung Laut.







* Tiada paku, skru mahupun bolt dan nat digunakan.

Struktur sokongan dan sambungan pada ruangan atap yang unik bagi senibina tradisional Melayu.
Hanya sambungan tanggam dan pasak kayu sahaja. Perhatikan juga barisan kayu jerghia ( jerial )
yang pastinya dahulu, buat menyangkut atap bata Singhorra.







* Sisip angin berukir, dengan ukiran geometrik.

Bagi memudahkan pengaliran udara, bertujuan menyejukkan ruang dalaman pada zaman tatkala kipas elektrik
dan tenaga elektrik, sesuatu yang tidak terlintas di fikiran. Tipikal bagi kediaman tradisional masyarakat Melayu.







* Imej kiri :

Buah Gutong ( juga disebut Buah Guntong, Buton, atau Buntong ) pada siling.

Dipasang di sini bagi menggantikan apa yang kebiasaannya adalah tiang.
Bertujuan meluaskan lagi ruang dalaman bangunan.


Imej kanan :

Pintu jenis lama, tipikal bagi binaan kayu tradisional sehingga awal abad ke-20.

Tiada engsel logam. Berfungsi dengan turus kayu bulat pada hujung atas dan bawah daun pintu.






KEMASKINI 20 MAC 2009


Nampaknya apa yang dinanti akhirnya terjadi jua.

Petikan akhbar Utusan Malaysia Online, 19 Mac 2009 sebagaimana dipetik di bawah akhirnya membawa berita yang aku nanti-nantikan selama ini.

Masjid tua yang unik ini akhirnya mendapat perhatian dan pembelaan yang sewajarnya dari pihak yang berkenaan. Namun, malang sekali kerana aku tak dapat mengikuti ( dan membuat liputan ) kerja-kerja yang dilangsungkan kerana terpaksa meluangkan masa berbulan-bulan lamanya di luar Kelantan semasa ianya bermula. Sehingga kemaskini ini dinaikkan sekalipun, aku masih lagi berada di luar Kelantan, entah bila dapat pulang.

Apa apa pun, yang pasti, aku tumpang gembira !



Quote:





    Keunikan Masjid Lama Mulong

    Oleh ASMA HANIM MAHMOOD
    utusankelantan@utusan.com.my


    KOTA BHARU 18 Mac - Seimbas pandang dari luaran, Masjid Lama Mulong, terletak
    hampir 10 kilometer dari bandar ini hanyalah sebuah masjid biasa yang kecil dan sudah
    dimamah usia serta mungkin menunggu masa untuk roboh.

    Namun tidak ramai yang menyedari, masjid yang tidak lagi diwartakan untuk solat
    Jumaat itu disenaraikan sebagai Bangunan Warisan Negara, satu monumen yang akan
    terus dipulihara untuk kegunaan dan tatapan generasi akan datang.

    Pesuruhjaya Jabatan Warisan Negara, Datin Paduka Zuraina Majid baru-baru ini
    mengumumkan ia adalah antara 11 bangunan bersejarah di seluruh negara yang diberi
    tumpuan untuk baik pulih sepanjang tahun ini.

    Projek ini telah bermula sejak 23 Oktober 2008 dan ia dijangka siap sepenuhnya Mei
    depan. Setelah sekian lama dalam keadaan agak terabai, tindakan proaktif ini
    memberi jaminan ia akan berkekalan.

    Sebenarnya masjid kayu yang didirikan tanpa paku selain sambungan tanggam dan
    pasak pada era 50-an itu, mengetengahkan keunikan warisan silam seni bina Melayu
    Kelantan yang kini amat jarang dapat disaksikan.

    Walaupun reka bentuk binaannya agak ringkas, ciri-cirinya biasa kedapatan di istana
    dan kediaman golongan bangsawan di negeri ini pada masa silam yang menonjolkan
    kepakaran tukangnya.

    Ia boleh dilihat pada struktur keseluruhan bangunan, pada bahagian dinding, pintu, tiang
    dan ruang atap walaupun bahagian yang berukir hampir tiada.

    Asalnya daripada bahan binaan istana di Balairung Seri Raja Dewa di bandar ini yang
    dibangunkan pada awal 1900, dirombak dan dibina semula sebagai masjid di bahu
    jalan atas tanah wakaf Abdul Rahman Ismail dan dikenali sebagai Masjid Ar-Rahman.

    ..................................


    * Baca selanjutnya di SINI

    * Berita berkaitan di SINI









View complete fotopage


© Pidgin Technologies Ltd. 2016

ns4008464.ip-198-27-69.net