Want your
own Fotopage?






 


By: RaY KinZoKu

[Recommend this Fotopage] | [Share this Fotopage]
View complete fotopage

Saturday, 26-Jan-2008 15:00 Email | Share | Bookmark
MASJID LANGGAR : Masih Ada Yang Sayang ...

Masjid Langgar
Masjid Tiga Tingkat
.



MASJID LANGGAR :

Masih Ada Yang Sayang ...





Tak sangka.

Di satu sudut belakang Masjid Langgar, di bandar Kota Bharu, ada tersembunyi satu manifestasi budaya silam yang sudah amat jarang kelihatan pada masa kini.

Bagi mata yang arif,
manifestasi berikut sememangnya tipikal bagi senibina vernakular Melayu Kelantan sehingga awal abad ke-20. Ketika itu, kediaman golongan pemerintah, orang kenamaan dan juga bangunan penting seperti masjid selalu didirikan sebegini rupa.





* Pintu masuk ke kamar dalam, dengan rekabentuk tipikal bagi pintu-pintu di Kelantan sehingga awal abad ke-20. Perhatikan panel dinding " Janda Berhias ", unik bagi negeri-negeri di Pantai Timur, khususnya di Kelantan. Namun begitu, sudah amat jarang kelihatan pada masa kini.






* Nun di atas sana terdapat ukiran panel yang berfungsi sebagai hiasan dan juga pengaliran udara. Di bawahnya pula lubang laluan angin yang dibentuk cantik.






* Bahagian dalam. Perhatikan efek cahaya yang terhasil dan perhatikan juga kaedah penyambungan strukturnya.






* Pintu lama. Tipikal bagi pintu-pintu di Kelantan sehingga awal abad ke-20. Tidak berengsel logam, sekadar dua pasak kayu bulat di hujung atas dan bawah pada setiap daun pintu. Perhatikan juga bentuk penyelak kayu yang terpasang.



Bagi anda yang masih tertanya-tanya dan ingin ambil peduli,
Masjid Langgar merupakan antara masjid tertua di bumi Kelantan selain dari Masjid Lama Kampung Laut dan Masjid Besar Kota Bharu atau Masjid Muhammadi

Apa yang menarik, ketiga-tiga masjid tersebut asalnya didirikan dengan binaan vernakular Melayu ( tiada unsur Barat mahupun Timur Tengah ), walaupun kini, yang masih kekal dengan konsep sedemikian, hanyalah Masjid Kampung Laut sahaja.

Masjid Lama Kampung Laut, iaitu yang tertua di Kelantan dan diyakini juga tertua di Malaysia, terletak di Nilam Puri dalam Jajahan Kota Bharu. Dipindahkan dari tapak asalnya di Kampung Laut, Jajahan Tumpat berpuluh tahun dahulu. Walaupun bahan binaannya telah banyak berubah dengan peredaran masa, rekabentuk asas serta rangka utamanya dikatakan tidak berubah dan dianggarkan telah wujud lebih 300 tahun dahulu.

Masjid Muhammadi atau juga dikenali sebagai Masjid Besar Kota Bharu pula, jika dinilai dari luaran dan bentuk fizikalnya kini, jelas sekali rekabentuknya berunsurkan senibina kolonial pra Perang Dunia Ke-2 dan tidak menampakkan langsung unsur senibina Melayu. Walaupun demikian, struktur konkrit berkenaan hanya mula dibina pada 1922 sebagai tambahan kepada binaan kayu sedia ada yang dibina sepenuhnya dengan ciri ciri tempatan dan telah pun wujud seawal 1867. Binaan kayu tersebut, walau bagaimana pun telah dirobohkan, kalau tak salah, sekitar 1950an. Terus dilenyapkan tanpa sebarang kesan, untuk memberi laluan seluas luasnya bagi kerja pembesaran dan urusan peralihan kepada bangunan baru.

Kalau ada antara kalian yang masih perlukan bantuan bergambar, berikut adalah rupa asal Masjid Muhammadi, dirakam sekitar 1905. Begitu unik dan menarik. Jujur aku katakan, adalah menjadi impian aku untuk melihat ia kembali didirikan, paling tidak pun di sebelah masjid yang ada sekarang .... ha ha mimpi jer lebey :





* Boleh jadi Masjid Langgar dahulu rupanya lebih kurang begini ?
Hingga ke saat ini, tiada sumber bergambar yang dapat aku temukan berhubung rupa asal Masjid Langgar.

Foto di atas menunjukkan rupa asal Masjid Muhammadi sebelum adanya yang sekarang. Klik foto untuk keterangan lebih lanjut.




Tetapi jika diperhatikan pula kepada Masjid Langgar kini,
pastinya ramai yang tidak menyangka bahawa ianya telah wujud seawal Masjid Muhammadi. Binaan masjid dari konkrit, langsung tidak menampakkan sejarahnya yang panjang tambah pula rekabentuknya yang nampak kontemporari menyebabkan ia seolah olah kelihatan tiada berbeza dengan masjid-masjid lain di Kelantan. Masjid Langgar sebenarnya telah wujud semenjak 1871, cuma tidaklah sebagaimana yang kita lihat sekarang tetapi berupa binaan kayu yang telah lama luput ditelan keinginan manusia untuk berubah.

Apa apa pun, sejarah Masjid Langgar tetap panjang dan sekiranya memang benar apa yang aku lihat ini adalah bahagian asal masjid ini dan bukannya replika yang sengaja diadakan ( aku rasa tidak ), dengan bangganya aku isytiharkan bahawa ini adalah penemuan yang paling menarik bagi tahun 2007 selepas Rumah Tengku Bongsu ( atau juga disebut, Rumah / Istana Tengku Fatimah Zaharah ). Bukan sahaja kerana kedua-duanya dibina pada era yang sama bahkan juga kerana pandangan dari sudut berikut .....







.. yang langsung tidak ubah seperti yang aku pernah lihat dari satu sudut ruang dalam Rumah Tengku Bongsu.

Buat seketika, aku terpaku di sudut masjid itu,
termenung sambil tergambar dalam kepala ini akan pemandangan yang sempat aku rakamkan semasa bertandang ke situ tempoh hari :





* Klik foto untuk keterangan lebih lanjut.


Dari segi struktur ( bertiang enam belas ) dan keunikan sambungannya, jelas sekali memang serupa !

Sekali lagi menyebabkan aku tertanya tanya.
Adakah ianya memang merupakan bahagian asal Masjid Langgar, salah satu masjid yang tertua di Kelantan ? Adakah ianya sengaja dikekalkan di sini, dalam bentuk sebegini oleh mereka yang prihatin akan asal usulnya ? Adakah bangunan Masjid Langgar sekarang dimodelkan dari binaan kayu yang asal ?

Entah, aku sendiri pun masih tidak jelas dengan sejarah sebenar masjid ini.
Bagus juga kalau ada sesuatu untuk dirujuk bagi mengesahkan segala.

Jika apa yang aku fikirkan ini ternyata benar,
terus terang aku katakan di sini, aku cukup berbangga !

Ternyata ..... Masih ada yang sayang !




NOTA :

( 1 )
    Masjid Langgar boleh dikunjungi di Kampung Langgar,
    bersebelahan Makam DiRaja Langgar, tidak jauh dari Kota Seri Mutiara
    ( Pasaraya Billion ), berdekatan pertemuan Jalan Sultan Yahya Petra dan
    Jalan Dusun Muda, bandar Kota Bharu.





* Masjid Langgar - Januari 2008.

Bahagian yang dimaksudkan kelihatan seperti bangunan tambahan di sebelah kiri ( atau belakang ) masjid.




( 2 )

( 3 )
    Sayang sekali.

    Kini, walaupun kelat untuk diakui, tidak banyak senibina vernakular Melayu Kelantan
    yang masih tinggal di negeri ini, khususnya dari era sebelum kedatangan Inggeris.
    Tidak melampau sekiranya aku katakan, hampir tidak wujud !

    Apa yang tinggal, hanya menanti masa selera si pemilik untuk beralih.
    Tak pun tersorok, jauh dari pandangan umum, di ruang-ruang milik orang perseorangan,
    kebanyakannya dalam bentuk sudah dilerai atau telah pun dipunggah ke luar Kelantan.
    Akibatnya, generasi kini seolah-olah hilang punca. Tidak kenal susur galur dan asal usul
    serta tidak tahu apa yang mereka warisi. Tiada kemegahan dengan keunikan dan
    pencapaian bangsa sendiri. Sebaliknya kelihatan terkinja kinja, bangga dengan identiti
    minda yang terjajah. Maka, jangan hairan sekiranya ramai generasi kini yang sanggup
    mencemuh latar belakang sendiri. Gara-gara kita yang terlalu terpesona, mengejar
    kemegahan milik orang.

    Betul,
    kaki mesti terus melangkah ke depan tapi sekali sekala,
    kepala kena juga toleh ke arah bertentangan

    takut takut ada yang lepas, datang menikam belakang !



LAIN LAIN :




* Masjid Kampung Laut, Nilam Puri, Kota Bharu - Januari 2008.



* Masjid Muhammadi, Kota Bharu - 1940an.



* Jendela rumah kedai dari era sebelum Perang Dunia ke-2 di Jalan Temenggong, Kota Bharu.
Bandingkan rekabentuk kayu penghadang pada jendela dengan panel " lubang angin " Masjid Langgar yang ditunjukkan di atas.



Foto dan maklumat berkaitan Masjid Muhammadi dan Masjid Lama Kampung Laut


Pelawat Asing ke Rumah Tengku Bongsu ( Rumah Tengku Fatimah Zaharah )







KEMASKINI 4 DISEMBER 2009 :





* Bangunan asal Masjid Langgar .....

... kelihatan tersergam di sebalik tembok Makam DiRaja Langgar dalam gambar foto
yang dirakamkan pada tahun 1905 ini.

( dipetik dari buku W.A. Graham, " Kelantan, A State of The Malay Peninsular ", Glasgow, 1908 )

Walaupun telah banyak kali saya melihat foto ini, saya langsung tidak menyedari
yang ia sebenarnya adalah bangunan Masjid Langgar yang asal sehinggalah saya
terbaca buku Warisan Kelantan IV ( Muzium Negeri Kelantan, 1985 ) yang
menayangkan foto yang sama tetapi dihurai dengan pendedahan tersebut.

Yang menyebabkan saya tersengih adalah bila mana ditilik semula foto ini lalu
dibandingkan pula dengan keadaan sekarang, memang lokasi berdirinya struktur itu
adalah lokasi yang sama berdirinya bangunan baru Masjid Langgar sekarang !

Alahai, kenapalah aku tidak terfikir ? He he ~

Oh yer, berkaitan makam di sebelahnya, boleh klik foto di atas untuk keterangan lanjut ...







* Masjid Lama Langgar ....

.... dirakam sekitar 1960an dan telah mengalami banyak perubahan dan penambahan
tetapi masih banyak mengekalkan bentuk dan bahan binaan asal.

Foto dipetik dari buku Warisan Kelantan XV, Muzium Negeri Kelantan, 1996 ; p.134 ~ 135 ..







View complete fotopage


© Pidgin Technologies Ltd. 2014.

ns4008229.ip-198-27-68.net